Saiz text :

Bantuan Kebajikan

Pembangunan Sosial

Kanak-kanak

Perintah Khidmat Masyarakat

Pemulihan Akhlak

Orang Kurang Upaya & Warga Tua

 

Bantuan Kebajikan

Apakah syarat-syarat kelayakan bagi pemohon bantuan?

Secara umumnya, pemohon haruslah seorang Warganegara Malaysia yang bermastautin di Sabah;. tidak mempunyai pendapatan tetap; miskin/ balu/ janda/warga emas atau Orang Kurang Upaya

Bagaimanakah cara untuk saya memohon bantuan?

Sila buat permohonan di Pejabat Kebajikan Bahagian/ Daerah yang berdekatan

Berapakah tempoh keputusan suatu permohonan itu boleh diperolehi?

Satu (1) bulan dari tempoh penghantaran borang permohonan.

Apakah dokumen yang diperlukan untuk suatu permohonan bantuan?

Salinan Kad Pengenalan yang disahkan benar oleh Jabatan Pendaftaran, salinan surat beranak, laporan perubatan (jika berkaitan); surat cerai, sijil mati pasangan, salinan no akaun bank;
 
Apakah borang yang digunakan untuk sesuatu permohonan?

Borang Pengesanan Perkhidmatan/ Rujukan Awal. Borang ini boleh juga dimuat turun dari laman web ini. Klik sini

ke atas


Pembangunan Sosial 

Bagaimana hendak mendaftar masuk ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)?

Pemohon boleh datang ke Pusat-pusat PDK dan berjumpa dengan penyelia / petugas dengan membawa bersama 3 keping gambar berukuran pasport, surat pengesahan dari doktor.

Adakah OKU di PDK mendapat elaun?

Ya, pihak jabatan ada menyediakan elaun untuk OKU di PDK.

Berapakah jumlah elaun untuk OKU di PDK?

RM 150.00 sebulan.

Adakah Pembangunan Sosial menyediakan geran untuk modal perniagaan?

Ya, ada. Tertakluk kepada jenis permohonan projek dan kelulusan adalah tertakluk kepada keputusan Pengarah

Apakah syarat-syarat kelayakan untuk memohon pembaikpulih rumah?

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut :

  • Ketua keluarga haruslah memohon kecuali balu / janda
  • Merupakan penerima Skim Bantuan Am
  • Mempunyai ramai anak yang masih dalam tanggungan
  • Warganegara Malaysia dan bermastautin di Sabah.

ke atas



Kanak-kanak

Bagaimanakah cara untuk memasukkan kanak-kanak tidak terkawal (beyond parental control)  atau nakal ke Institusi Pemulihan jabatan ini?

Ibu bapa atau penjaga yang sah bagi kanak-kanak, boleh membuat permohonan bertulis kepada Mahkamah Bagi Kanak-kanak dengan menyatakan mohon bantuan pemulihan terhadap tingkah laku yang sering dilakukan oleh anak yang tidak terkawal. Tingkah laku itu mungkin mendorong kepada bahaya jenayah atau mendorong kepada bahaya moral. Berdasarkan surat permohonan itu mahkamah akan mengarahkan Pegawai Kebajikan Masyarakat/Pegawai Akhlak menyiasat keadaan sebenar dengan menyediakan satu Laporan Akhlak. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk bersidang dengan kehadiran pemohon, anak yang tidak terkawal dan Pegawai Akhlak. Mahkamah boleh membuat keputusan samada:

  • Memerintahkan kanak-kanak diletak dalam Pengawasan Pegawai Akhlak dalam tempoh tertentu. 1 hingga 3 tahun. Boleh juga mengenakan syarat tinggal di Asrama Akhlak tidak lebih 1 tahun. Selepas tinggal di asrama kanak-kanak akan diawasi selama tempoh baki Perintah Pengawasan yang ada. Jika kanak-kanak masih mengulangi tingkah laku negatif, boleh dihantar ke Sekolah Tunas Bakti.
  • Menghantar kanak-kanak itu ke Sekolah Tunas Bakti selama 3 tahun. Selepas keluar dari institusi pulang ke pangkuan keluarga, kanak-kanak masih diselia oleh Pegawai Akhlak selama 1 tahun. Jika melanggar syarat yang ditetapkan boleh dikembalikan semula ke institusi.

ke atas

Bagaimanakah cara untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak/ kes pembuangan bayi?

Kes penderaan/ kes pembuangan bayi boleh dilaporkan melalui salah satu cara berikut:

  • Talian telefon Teledera: 1 800 88 3040
  • Melaporkan kepada Pejabat Kebajikan Bahagian / Daerah yang berhampiran ;
  • Melaporkan kepada mana-mana Balai Polis/ Pondok Polis yang berhampiran;
  • Mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak/ Pusat Aktiviti kanak-Kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan atau;
  • Merujuk terus ke hospital yang berhampiran

ke atas



Perintah Khidmat Masyarakat

Siapakah Kumpulan Sasar perkhidmatan Perintah Khidmat Masyarakat?

Pesalah Muda yang berumur 18 hingga 21 tahun yang diperintahkan untuk menjalani perintah khidmat masyarakat oleh mahkamah

Apakah Tujuan Perintah Khidmat Masyarakat?

  • Perintah Khidmat Masyarakat ini merupakan salah satu perintah alternatif yang boleh dikenakan kepada pesalah muda yang berumur 18 hingga 21 tahun.
  • Perintah Khidmat Masyarakat bermatlamat untuk mencegah pesalah muda daripada mengulangi kesalahan jenayah pada masa hadapan dengan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat.
  • Elemen yang terkandung di dalam Perintah Khidmat Masyarakat adalah seperti berikut:
    • Hukuman - melalui pelucutan masa lapang pesalah dan memberikan suatu tanggungjawab ke atas mereka untuk dilaksanakan. Hukuman yang diberikan bukan mengikut keselesaan dan keperluan pasalah.
    • Pemulihan - dengan meransang tanggungjawab sosial dan menjadikan program khidmat masyarakat sebagai suatu pengalaman berfaedah kepada pesalah muda.
    • Penginsafan - dengan mewujudkan ruang bagi pesalah muda menjalani pemulihan akhlak menawarkan faedah nyata kepada masyarakat.

Dimanakah Pesalah Muda boleh menjalani Program Perintah Khidmat Masyarakat?

Para pesalah muda yang diperintahkan untuk Khidmat Masyarakat akan menjalani perintah itu di institusi bawah kelolaan jabatan

Apakah aktiviti yang boleh dilakukan semasa menjalani Perintah Khidmat Masyarakat?

Aktiviti yang telah dikenalpasti untuk pesalah muda menjalani program adalah seperti pemuliharaan kawasan dan lanskap, pemuliharaan bangunan, pembaikan kecil, housekeeping, penyajian makanan, jagaan dan pengurusan penghuni serta aktiviti-aktiviti lain yang difikirkan bersesuaian

ke atas


Pemulihan Akhlak

Apakah prosedur kemasukan ke Institusi?
  • Prosedur pertama ialah dengan mendapat arahan atau perintah dari Mahkamah.
  • Prosedur kedua ialah dengan secara sukarela.
Apakah bidang kemahiran yang ditawarkan oleh institusi?

Kemahiran yang berbentuk bengkel Motor dan Pertanian

Apakah tindakan yang akan diambil oleh Pegawai Akhlak sekiranya kanak-kanak yang telah dimasukkan ke institusi lari beberapa kali ?

Pegawai Akhlak hendaklah menasihati ibubapa kanak-kanak supaya berbincang dengan pihak Institusi dan memberitahu kesan ke atas kanak-kanak dan ibubapa sekiranya cuba menyembunyikan kanak-kanak tersebut.

 

Apakah perbezaan di antara Sekolah Tunas Bakti dengan Taman Seri Puteri?

Sekolah Tunas Bakti merupakan tempat Institusi yang menempatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang mempunyai tingkah laku yang tidak terkawal dan yang telah melakukan kesalahan jenayah.

Manakala Taman Seri Puteri merupakan Institusi yang hanya menempatkan remaja perempuan berumur bawah 18 tahun yang terdedah kepada bahaya moral dan luar kawalan ibubapa/penjaga.

ke atas



Orang Kurang Upaya & Wargatua

Bagaimanakah untuk saya mendaftar sebagai seorang kurang upaya?

Pemohon bolehlah datang ke Pejabat Kebajikan Bahagian / Daerah yang berhampiran untuk mendaftar. Sila bawa bersama salinan Kad Pengenalan / Sijil Lahir dan 3 keping gambar berukuran pasport serta salinan Kad Pengenalan ibubapa pemohon untuk mengetahui warganegara pemohon.

Bagaimana untuk saya memohon Bantuan Elaun Pekerja Cacat?

Pemohon bolehlah datang ke Pejabat Kebajikan Bahagian / Daerah yang berhampiran dengan membawah bersama salinan slip gaji atau surat perlantikan dari majikan untuk memohon. Pastikan pemohon telah berdaftar dengan jabatan ini serta gaji tidak melebihi RM1,200.00 sahaja.

Bagaimana untuk memohon Bantuan Alat Tiruan/Sokongan?

Pemohon bolehlah datang ke Pejabat Kebajikan Bahagian / Daerah yang berhampiran untuk memohon. Pastikan pemohon telah berdaftar dengan jabatan ini. Sila bawa bersama laporan perubatan dari Pakar Perubatan Kerajaan serta sebutharga alat yang di pohon.

Bagaimana untuk memohon masuk ke rumah wargatua?

Pemohon bolehlah datang ke Pejabat Kebajikan Bahagian / Daerah yang berhampiran untuk memohon. Pastikan pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan serta telah mencapai umur 60 tahun dan ke atas.

ke atas