WARISAN BUDAYA DAN SEJARAH
Warisan Budaya dan Sejarah

KadazanDusun

Taburan Masyarakat KadazanDusun di Sabah
Kaum Kadazandusun sebenarnya dibentuk oleh dua kaum utama Sabah iaitu ‘Kadazan’ dan ‘Dusun’ namun disebabkan persamaan bahasa, budaya dan situasi politik kaum ‘Kadazan’ dengan kaum ‘Dusun’ satu istilah baru telah terbentuk untuk menyatukan kedua-dua kaum ini iaitu ‘KadazanDusun’. Kaum Kadazandusun sememangnya kaya dengan keunikan budayanya dari segi asal-usul, lagenda, bahasa, pakaian, muzik, tarian tradisional dan corak kehidupan masyarakatnya.

Mengikut statistik, suku kaum Kadazandusun merangkumi lebih kurang 40 etnik yang berbeza. Terdapat perbezaan dari segi bahasa, loghat, sebutan dan ejaan yang banyak dipengaruhi mengikut etnik tertentu dari satu daerah dengan daerah lain di negeri Sabah, namun masih membawa erti dan makna yang sama.


Kepercayaan
Sebelum kedatangan pengaruh Kristian dan Islam ke Borneo, masyarakat Kadazandusun mengamalkan kepercayaan animisme. Menurut kepercayaan mereka setiap elemen alam seperti batu, pokok dan sungai mempunyai jiwa dan semangat yang perlu ditenangkan dari semasa ke semasa melalui ritual tertentu. Namun di zaman moden ini, dengan ramainya di kalangan masyarakat ini yang telah memeluk Kristian, beberapa ritual dilakukan hanya semasa perayaan tertentu.


Budaya Megalith
Megalit atau Megalith berasal dari perkataan Greek yang bermakna batuan besar. Budaya Megalith merupakan peninggalan budaya dan sejarah yang penting di Penampang. Ia juga selari dengan nama Penampang yang berasal dari istilah Pampang yang bermaksud batu besar.

Pelan Lokasi Kampung Pogunon
Tradisi megalith merupakan tradisi menggunakan bongkah batu yang dibentuk, digores, diukir atau diimbangkan dan diletakkan dengan sengaja sebagai simbolik atau tujuan tertentu dalam kebudayaan dan adat masyarakat KadazanDusun.

Upacara khas dilakukan untuk mengusung batu dari tempat asal umumnya dari kawasan hulu sungai hinggalah ia dipacakkan. Binatang ternakan akan dikorbankan dan darah akan disiram ke atas batu sebagai simbol pengorbanan dan hadiah kepada semangat penjaga batu.

Batu-batu megalith ini dikenali juga dengan beberapa nama dan dipacakkan untuk memberi beberapa maksud simbolik iaitu :

  • 'Batu sumpah' ditempatkan di Pasar Tamu sebagai simbol pemeterian perjanjian keamanan sebagai asas dalam perniagaan. 
  • Batu tanda kubursebagai objek penghormatan 
  • Simbol Kepahlawanan – dari bentuk dan bilangan goresan pada batu menandakan bilangan musuh yang telah dibunuh. 
  • 'Sinningazanak' – patung batu untuk orang yang meninggal tanpa waris 
  • Batu sempadan tanah
Budaya batu Megalith adalah unik dan merupakan tinggalan sejarah yang menyingkap kepercayaan dan adat resam orang dahulu. Batu-batu Megalith yang dijadikan batu tanda kubur purba telah ditemui di Kampung Pogunon dan boleh menjadi tumpuan pelancong berasaskan budaya dan sejarah.

Batu Sempadan (kiri), Sininggazanak (kanan)
Batu Sumpah di Tamu Inobong


Perayaan Rasmi

Pesta Kaamatan

KadazanDusun Cultural Association (KDCA)  |  Klik disini untuk melihat peta lokasi
Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan dan dalam bahasa Kadazan “Magavau” merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum Kadazandusun sejak zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuaipadi. Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei di peringkat daerah dan pada 30 dan 31 Mei ia disambut oleh semua kaum lain Sabah.

Unduk Ngadau 2016
Pesta Kaamatan dilangsungkan secara tahunan di Kampung Budaya – Kadazandusun Cultural Association (KDCA) Hongkod Koisaan di Penampang. Acara kemuncak adalah peraduan ratu cantik atau "Unduk Ngadau’’ yang mewakili semua daerah di Sabah. Pesta Kaamatan di KDCA dipenuhi dengan persembahan tarian budaya, acara sukan rakyat, pameran makanan tradisi serta jualan kraftangan dan barangan tradisi. 

Antara sambutan menarik yang lain diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan iringan paluan gong.

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional yang juga merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

Selain daripada persembahan tarian Sumazau, pertandingan seperti nyanyian yang dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.


Tradisi

Tarian Tradisional

Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. 

Tarian ritual ini memenuhi pelbagai fungsi iaitu sebagai menandakan kesyukuran dan juga yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi, menolak bala, menyembah semangat dan mengubati penyakit. 

Dikatakan bahawa tarian ini adalah berasal daripada cara burung helang terbang dan ditiru oleh petani-petani Kadazandusun yang duduk berehat selepas penat bekerja menguruskan sawah padi mereka.


Pakaian Tradisional
Pakaian tradisional Kadazandusun ialah `Sinuangga’ bagi wanita muda iaitu blaus tidak berlengan yang berwarna hitam atau baldu dan dihiasi dengan talipinggang yang disebut ‘tangkong’ yang diperbuat daripada duit syiling perak. Blaus berlengan pendek atau ‘Sinompukung’ pula dikhususkan untuk wanita pertengahan umur manakala blaus berlengan panjang iaitu ‘Kinoigan’ untuk wanita golongan warga tua terutama ‘Bobohizan’ atau bomoh wanita.

Bagi golongan lelaki pula adalah kemeja berwarna hitam baldu dan berlengan panjang serta tengkolok `Sigah’ yang mempunyai pelbagai corak yang tersendiri.
Pakaian tradisi ini biasanya dipakai di musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga upacara khas seperti di majlis perkahwinan.


Alat Muzik Tradisional

Muzik tradisi yang ditonjolkan dalam kaum ini amat menarik dan unik. Alat-alat muzik tradisi yang popular ialah gong, sompoton, kulintangan, togunggu atau togunggak, bungkau, pumpuak, sundatang, suling, turali, tongkungon dan lain-lain lagi. 

Kebanyakan alat-alat muzik ini dibuat daripada bahan-bahan asli seperti tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh. 

Alat lain seperti gambus, kompang dan gendang diperbuat daripada kulit kambing. Gong dan kulintangan dibuat daripada kayu lembut dan menyerupai gitar panjang bertali tiga yang dibuat daripada giman, sejenis gentian pokok palma.


Makanan Tradisional

Makanan tradisi suku kaum Kadazandusun terdiri daripada pelbagai jenis kerana keadaan semulajadi bentuk muka buminya banyak membekalkan sumber pencarian makanan. Makanan ini biasanya menjadi hidangan istimewa di musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan majlis perkahwinan. Antara makanan tradisi terkenal di kalangan kaum Kadazandusun ialah Hinava, Noosom, Panaasakan, Bosou dan Manuk Lihing.


Pilihan Bahasa

Carian

PENGERUSI MAJLIS

ENCIK HENRY IDOL

PEGAWAI EKSEKUTIF MDPG

ENCIK TANG YANG MING

Jumlah Pelawat

» 1 Pelawat Semasa
» 55 Pelawat Hari Ini
» 69 Pelawat Kelmarin
» 278 Pelawat Minggu Ini
» 728 Pelawat Bulan Ini
» 13942 Pelawat Tahun Ini
» 13942 Jumlah Keseluruhan Pelawat

 Array ( [memory] => 0.049446105957031 [seconds] => 0.013619899749756 )