Telefon: 088-450800 Faks: 088-450999

PEMBANGUNAN EKONOMI
 
Jentera Perancangan Pembangunan

Perancangan di negeri Sabah adalah proses interaktif antara UPEN dan pihak berkepentingan, termasuklah kementerian dan agensi, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan badan bukan kerajaan. Di samping itu, input daripada pihak agensi antarabangsa turut diambil kira.

 

Penetapan sasaran makro dan sektoral akan dibincangkan dan dipersetujui di dalam mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) yang mana UPEN merupakan urusetia. Proses perancangan dilaksanakan melalui kaedah “atas ke bawah” (top down) dan “bawah ke atas” (bottom up) bertujuan untuk memastikan dasar dan strategi negari direalisasikan melalui pengoptimuman sumber dan pembangunan antara daerah dapat diintegrasikan sepenuhnya dengan teras pembangunan negari. Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan peringkat tertinggi dalam perancangan pembangunan negara. Sebelum rancangan dibentangkan di DUN, ianya terlebih dahulu dibincang di peringkat Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa di bawah Jabatan Ketua Menteri. Manakala Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara pula, merupakan badan tertinggi di peringkat pegawai Kerajaan dalam pembentukan dan penyelarasan dasar yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

 
 

Sebagai agensi pusat, UPEN Sabah terlibat secara langsung dalam melaksanakan dasar-dasar dan strategi dan perancangan pembangunan dan menterjemahkannya dalam bentuk perancangan program-program dan projek-projek pembangunan yang dapat membangunkan serta meningkatkan ekonomi negeri.

 

Dasar, matlamat dan strategi yang dibentuk oleh UPEN pada lazimnya mengambilkira visi dan misi pemimpin, dasar-dasar sosio-ekonomi negara sedia ada serta input, cadangan dan komen daripada kementerian, jabatan dan agensi negeri.

 

Penglibatan UPEN secara langsung dalam proses memulakan penyediaan Rancangan Pembangunan Lima Tahun (RPLT) sehinggalah setiap RPLT diluluskan oleh Kerajaan Negeri kebiasaannya mengambil masa kira-kira setahun. Proses ini melibatkan Penyediaan Pekeliling RPLT baru, kajian semula RPLT yang lepas, penganjuran taklimat dan bengkel RPLT, perbincangan dengan semua kementerian/jabatan/agensi, penyediaan Kertas Kerja Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negeri (JPPN) dan Kertas Kabinet, pemeriksaan cadangan bajet dan projek RPLT, dan penyediaan dokumen RPLT. UPEN juga melaksanakan tugas-tugas berterusan seperti menyelaras dan memantau semua pelaksanaan program dan projek pembangunan biayaan kerajaan Negeri dan Persekutuan di negeri Sabah.